Saturday, 17 October 2009

Cadang wujudkan Bank Belia.


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO meminta kerajaan menyediakan beberapa inisiatif khas untuk golongan muda menjelang pembentangan Bajet 2010 antaranya mewujudkan Bank Belia atau Bank Pemuda bagi menggalakkan golongan itu terlibat dalam bidang keusahawanan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu kerana kumpulan terbabit kini berhadapan dengan masalah kekurangan pekerjaan yang menuntut pihak pemerintah menyegerakan usaha menyelesaikan masalah mereka.

Melalui bank berkenaan katanya, pihak kerajaan boleh menyalurkan pinjaman khas kepada mereka terutama bagi mengatasi masalah modal perniagaan di peringkat permulaan.

''Selain itu ia turut menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi.

''Selain itu cadangan inisiatif khas itu juga melibatkan usaha menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutama di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bioteknologi,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ucapan yang bertajuk Di Persimpangan Jalan Perjuangan itu disampaikan di hadapan 795 perwakilan dari seluruh negara.

Turut hadir Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim dan barisan Exco pergerakan itu.
Khairy berkata, melalui inisiatif khas berkenaan kerajaan harus menambahkan peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

Dalam ucapan dasarnya itu, beliau turut menarik perhatian perwakilan mengenai nasib golongan muda yang baru memulakan hidup berkeluarga.

''Pemuda juga prihatin dengan nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga.

''Sudah tentu mereka ini baru bekerja dan dalam masa sama mempunyai pelbagai tanggungan termasuklah membantu ibu bapa dan membayar pinjaman pendidikan,'' katanya.

Justeru beliau berkata, pihak Pemuda mencadangkan beberapa langkah yang wajar diberikan perhatian oleh kerajaan antaranya menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah terendah.

Melalui langkah itu kata beliau, ia akan membolehkan golongan muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah sendiri.

''Antara langkah lain ialah memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru memiliki kereta.

''Pemuda juga ingin mencadangkan supaya kerajaan memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional,'' katanya.

Selain itu kata Khairy, langkah tersebut turut meliputi tawaran baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.

''Pemuda berharap kerajaan dapat menimbang dan memberi perhatian kepada langkah-langkah yang dicadangkan itu.

''Pemuda percaya dengan gerak kerja dan khidmat berterusan insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset penting kepada negara,'' katanya.
- taken from prokhairy.com

2 comments:

  1. steadylah Sam!!! Hidup KJ!!!

    ReplyDelete
  2. oi, khan mana ada sokong bangsat mcm kj.buat malu keturunan khan saja.

    ReplyDelete