Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan bahawa MIC tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional sekiranya UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).
Selaku Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), saya telah menghubungi dan bercakap dengan saudara T. Mohan bahawa MIC perlu menghentikan tuduhan-tuduhan liar kononnya UMNO menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden MIC.
Saya juga menegaskan kepada saudara T. Mohan bahawa kenyataannya yang berbaur ugutan untuk keluar dari BN adalah tidak wajar sama sekali, tatkala parti-parti komponen sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan sesama sendiri menjelang Pilihanraya Umum ke-13.
Pemuda UMNO sekali lagi menyatakan bahawa UMNO tidak terbabit sama sekali dalam kemelut MIC sepertimana yang dituduh oleh beberapa pemimpin parti tersebut. Sekiranya MIC mempunyai sebarang krisis dalaman, maka ia merupakan masalah yang perlu cepat diselesaikan sendiri oleh MIC, supaya kita dapat bersama-sama mengukuhkan Barisan Nasional.
Khairy Jamaluddin